Friday, March 14, 2008

Kesan persekitaran kepada perkembangan manusia

KESAN PERSEKITARAN KE ATAS PERKEMBANGAN MANUSIA
PRA-LAHIR

Menurut Krause (1984) dalam Jas Laile Suzana Jaafar (2002) persekitaran yang sihat untuk janin akan terhasil apabila ibu mengambil makanan seimbang untuk dirinya, bebas daripada penyakit dan mematuhi arahan doktor. Sehubungan dengan itu terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi persekitaran pra-lahir. Antaranya adalah seperti umur ibu bapa, pemakanan ibu, merokok,keadaan emosi ibu, agen-agen Teratogenik, dadah dan arak.



Umur Ibu Bapa
Menurut Kessner (1973) dalam Jas Laile Suzana Jaafar (2002) umur seseorang ibu semasa mengandung ada hubungan dengan risiko kematian janin. Oleh itu semakin muda umur seseorang ibu tersebut, semakin lebih berisiko atau cenderung ia mengalami keguguran, anak yang tidak cukup bulan atau kematian anak.
Justeru itu ibu yang berumur antara 20 hingga 35 tahun merupakan masa yang paling baik untuk melahirkan anak. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh tahap kesihatan ibu yang baik pada tahap umur sedemikian. Jika ibu terlalu muda, sistem peranakan mungkin tidak begitu matang, anak kadang-kadang rendah berat badan, mengalami kecacatan fizikal dan saraf serta mungkin terencat akal berbanding dengan ibu yang berumur lebih 20 tahun. Manakala ibu yang berumur lebih 40 tahun pula berkemungkinan wujudnya keabnormalan kromosom yang boleh membawa kepada bayi mengalami masalah Down-Syndrome dan mempunyai risiko keguguran yang tinggi.

Pemakanan Ibu
Pengambilan makanan yang tidak baik juga mempengaruhi perkembangan janin dengan cara menyalurkan makanan yang tidak berzat kepadanya dan secara tidak langsung mempengaruhi janin dengan cara mengurangkan daya tahan ibu terhadap penyakit. Ibu yang kurang vitamin, garam galian dan protein akan memberi kesan terhadap bayi di dalam kandungan seperti anak mungkin menjadi cacat..
Menurut Guttmacher (1973) dalam Jas Laile Suzana Jaafar (2002) corak pemakanan ibu yang buruk bukan sahaja menyebabkan kesihatan ibu menjadi lemah malah bayi juga mengalami kekurangan vitamin C dan D, tulang lembut, fizikal yang lemah, keguguran dan bayi mati, serta mental bayi menjadi abnormal.

Merokok
Tabiat merokok ternyata membahayakan kesihatan bagi ibu hamil. Terdapat kajian menunjukkan bahawa kerencatan pembesaran berlaku apabila ibu hamil yang merokok melebihi lima batang dalam sehari. Selalunya ibu yang mrokok semasa hamil juga berisiko melahirkan bayi yang rendah berat badan, keguguran atau meninggal dunia. Menurut Stjernfeldt (1986) dalam Jas Laile Suzana Jaafaar (2002) mendapati kanak-kanak yang menpunyai ibu yang merokok melebihi sepuluh batang rokok sehari mempunyai 50% risiko mengalami penyakit barah semasa zaman kanak-kanak. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh ibu tersebut menyalurkan oksigen yang bercampur gas, tar dan nikotin kepada janin berbanding ibu yang tidak merokok dapat menyalurkan oksigen sepenuhnya kepada janin mereka.

Dadah dan arak
Kesan dadah terhadap janin adalah bergantung kepada jenis dadah, kuantiti dan tempoh usia kehamilan ketika dadah diambil. Sekiranya ibu diberi ubat pelali dalam kadar yang banyak, risiko bayi yang bakal dilahirkan akan mengalami kerosakan otak adalah tinggi. Bagi ibu yang minum arak semasa hamil pula, anak yang bakal lahir akan mengalami fetal alcohol syndrome iaitu jarak mata bayi lebar, kepala kecil, jantung dan sendi-sendi tidak dapat berfungsi dengan betul, hiperaktif dan sawan. Bayi juga bersaiz kecil, ringan berat badan, rendah IQ, terencat akal, mengalami masalah pembelajaran dan system saraf yang kurang baik. Menurut Rosset (1980) dalam Jas Laile Suzana Jaafar (2002) bayi yang lahir juga mengalami masalah tingkah laku irritable, kurang tidur, sukar diberi makan dan sering muntah. Kanak-kanak ini juga akan mengalami masalah bahasa dan pergerakan motor serta sukar menumpukan perhatian semasa berada di sekolah.

Keadaan Emosi Ibu
Tekanan yang kronik yang dialami oleh ibu hamil akan mempengaruhi perkembangan pralahir. Menurut Thompson dan Grusec (1970) dalam Jas Laile Suzana Jaafar (2002) mendapati bahawa ibu yang mengalami tekanan semasa hamil akan menghasilkan anak-anak yang beremosi. Selain dari itu aktiviti janin juga akan meningkat secara mendadak bagi ibu yang mengalami tekanan emosi. Bayi yang dilahirkan juga akan mengalami masalah pemakanan dan penghadaman. Terdapat juga sesetengah kajian mengatakan keadaan emosi ibu yang tertekan sebelum dan semasa mengandung akan menyebabkan kesukaran semasa mengandung dan bersalin seperti melahirkan kandungan yang tidak cukup bulan, bayi rendah berat badan dan sukar bernafas.

Penyakit Ibu
Terdapat dua keadaan penyakit yang memberi kesan kepada perkembangan fetus dan membawa bahaya iaitu kencing manis dan ketidaksuaian faktor Rh. Penyakit kencing manis ibu boleh mengakibatkan keguguran, ataupun bayi terlalu berat dan gemuk serta menghidapi masalah fizikal dan saraf. Faktor Rh terhasil setelah kewujudan protein dalam sel darah merah. Apabila darah fetus mengandungi protein Rh dan tidak dalam darah ibunya ketidaksesuaian berlaku. Jikalau darah Rh positif fetus mengalir masuk ke dalam darah Rh negatif ibu, sistem ibu akan mengeluarkan antibodi yang boleh menyerang darah fetus. Akibatnya bayi akan mendapat penyakit kuning, lahir tidak cukup bulan dan mengalami kecacatan otak. Penyakit berjangkit seperti rubella juga berbahaya kepada perkembangan fetus. Jikalau ibu mengidap penyakit rubella semasa tiga bulan pertama penghamilan, akibatnya anak yang dilahirkan mati, atau buta, pekak, cacat otak atau mengalami kecacatan jantung. Penyakit kelamin seperti sifilis adalah merbahaya selepas fetus terbentuk, terutama empat bulan kehamilan dan seterusnya. Kecacatan yang berlaku keatas bayi ialah mata yang menyebabkan buta dan sakit kulit. Penyakit AIDS juga merupakan gejala yang serius dalam kematian kanak-kanak di antara umur satu hingga lima bulan. Kebanyakan bayi yang lahir oleh ibu yang berpenyakit AIDS menunjukkan tanda-tanda AIDS, dan akan menghidapi HIV apabila berumur lima belas bulan.

Agen-agen Teratogenik
Teratogen ialah bahan-bahan persekitaran yang menyebabkan kod-kod genetik berubah dan menyebabkan keabnormalan. Ianya seperti suntikan rubella yang boleh menyebabkan buta, pekak dan kerencatan mental kepada kanak-kanak. Tempoh lapan minggu yang pertama merupakan satu masa yang paling kritikal bagi bayi yang di dalam kandungan.

FAKTOR SELEPAS LAHIR
Sebagaimana nasihat-nasihat yang diberikan oleh para doktor dan jururawat, faktor pemakanan perlu dititikberatkan dalam persekitaran kehidupan kanak-kanak sejak dari peringkat awal lagi bagi menjamin perkembangan yang sempurna. Susu ibu amat berkhasiat untuk bayi. Seterusnya, bagi menjamin perkembangan jasmani dan mental yang sihat, makanan yang berzat dan seimbang amat diperlukan. Makanan bukan sahaja membantu pertumbuhan dan perkembangan seseorang individu, malah ia juga dapat melindungi mereka daripada berbagai-bagai penyakit (Ashford,J.B.,1997).

Keluarga
Keluarga juga merupakan satu latar persekitaran yang banyak mempengaruhi perkembangan seseorang individu. Selain daripada mempunyai pertalian darah, mereka mempunyai pertalian emosi dan sosial kerana mereka sentiasa mempunyai hubungan rapat. Kanak-kanak yang dilindungi dan dijaga dengan baik akan merasa selamat dan yakin dan mempunyai self-esteem yang tinggi. Cara gaya asuhan dan didikan ibu bapa juga akan mempengaruhi pembentukan personaliti seseorang anak. Menurut Rahil Mahyuddin dan Habibah Elias (2002:149), ada empat aspek dalam perhubungan ibu bapa yang memberi kesan kepada perkembangan identiti seseorang. Antaranya ialah minat dan penglibatan ibu bapa, kekuatan emosi dalam interaksi keluarga, ciri tingkah laku keluarga dan ciri autoriti ibu bapa. Contohnya, ibu bapa yang bersikap autokratik akan melahirkan anak-anak yang pasif, takut dan menarik diri. Kanak-kanak ini akan membesar menjadi individu yang kurang berkeyakinan dan amat bergantung kepada orang lain untuk membuat keputusan. Sebaliknya, ibu bapa yang mengamalkan prinsip demokrasi akan mengasuh kanak-kanak menerima dan memberi, bertolak ansur, berbincang dan mematuhi pendapat majoriti dalam satu-satu tindakan membuat keputusan. Ibu bapa yang sentiasa menemani anak-anak mereka dalam segala aktiviti pula besar kemungkinan akan membentuk kanak-kanak yang sukar berdikari.

Dalam kajian yang dijalankan oleh Elder (1980) dalam Rahil & Habibah (2002:150), kualiti perhubungan antara remaja dan ibu bapa mempengaruhi perkembangan identiti. Jikalau keadaan dan limitasi ibu bapa itu menghalang mereka melakukan segala-galanya, maka remaja itu akan menghadapi masalah dalam pencapaian identiti. Saiz keluarga pula mempengaruhi pembentukan sahsiah seseorang kanak-kanak. Kanak-kanak dari saiz keluarga yang kecil lazimnya akan mendapat perhatian dan layanan yang lebih sempurna berbanding kanak-kanak yang dibesarkan dalam persekitaran keluarga yang ramai. Jika segala permintaan kanak-kanak sentiasa dipenuhi oleh ibu bapa tanpa memikirkan keperluannya, mungkin boleh menyebabkan mereka bersikap angkuh dan terlalu bergantung kepada ibu bapa. Bagi seseorang yang dibesarkan dalam persekitaran keluarga yang bercerai-berai pula, mereka akan sentiasa bergelut dengan perasaan marah dan akan menyalahkan diri sendiri dan sukar mencapai harapan yang realistik tentang perhubungan dengan orang lain (Rahil & Habibah, 2002:151).

Rakan Sebaya
Rakan sebaya adalah faktor penting dalam mempengaruhi perkembangan individu terutama ketika zaman remaja. Menurut Tang Chee Yee (1990:35),rakan sebaya ialah karib, klik,gang yang mempengaruhi perkembangan sikap, minat, bahasa dan falsafah hidup. Lazimnya rakan sebaya mempunyai usia, cita-cita, minat dan tahap kecerdasan yang lebih kurang sama. Pengaruh rakan sebaya adalah dari pelbagai aspek iaitu afektif, sosial, kognitif dan psikomotor. Kanak-kanak belajar bersosialisasi dengan mempelajari perkara-perkara yang boleh diterima dan yang tidak boleh diterima oleh ahli-ahli kumpulan sebaya. Perkembangan kognitif mereka pula akan bercambah kerana terlibat dalam perbincangan dan perdebatan dengan rakan sebaya mereka. Kanak-kanak juga akan mempelajari sikap yang diamalkan oleh rakan sebaya mereka. Contohya; sekiranya rakan tersebut menunjukkan sikap yang positif terhadap pelajaran maka mereka akan cenderung terhadap pelajaran tetapi malangnya jika rakan mereka bersikap negatif dan anti sosial maka ada kecenderungan kanak-kanak ini juga akan turut terjebak dengan perkara-perkara yang tidak diingini. Akhlak dan nilai yang diamalkan oleh rakan sebaya lazimnya akan mempengarhi kanak-kanak turut bertingkahlaku sedemikian kerana mereka takut disingkir. Kajian tentang perhubngan rakan sebaya menunjukkan satu trend terhadap saling sokong-menyokong melalui ketaatan dan kemesraan (Douvan dan Gold (1966) dalam Rahil dan Habibah ,2002:152). Kumpulan sebaya ini juga ialah nadi bagi remaja. Kualiti peribadi membuatkan remaja menjadi popular di kalangan mereka. Mereka ini akan ceria, bertenaga, baik budi, mempunyai humor, berinisiatif, mempunyai desakan dan idea bernas (Conger, 1977 dalam Rahil & Habbah, 2002:154), manakala remaja yang terasing di kalangan rakan sebaya mempunyai ciri-ciri bertentangan dengan remaja popular.

Sekolah
Sekolah memainkan peranan penting dalam perkembangan identiti seseorang kerana mereka banyak menghabiskan masa di sekolah menerusi aktiviti akademik, aktiviti gerak kerja kokurikulum dan menghabiskan kerja tambahan sekolah. Selain itu, mereka didedahkan kepada guru yang sentiasa menekankan pencapaian akademik, motivasi untuk belajar penguasaan kemahiran dan mempertingkatkan kemajuan serta sikap terhadap tanggungjawab, kepimpinan, dan autoriti. Kajian mendapati bahawa remaja mempunyai pola identifikasi yang kukuh dengan ibu bapa, guru, nilai sekolah dan rakan sebaya adalah berkait rapat dengan pencapaian akademik (Rahil & Habibah, 2002:155). Perkembangan mental, sosial dan jasmani seseorang pula boleh dipengaruhi oleh kedudukan tempat mereka bersekolah sama ada di bandar ataupun di luar bandar. Kekurangan kemudahan di sekolah luar bandar seperti elektrik, komputer, internet, perpustakaan yang lengkap dan seumpamanya akan menjejaskan perkembangan kanak-kanak dari pelbagai aspek. Saiz sesebuah sekolah, bilangan pelajar di dalam kelas dan keupayaan guru pula akan memberikan kesan yang berbeza terhadap perkembangan pembelajaran pelajar. Contohnya, jika bilangan ahli di dalam sesebuah kelas adalah kecil, maka guru akan mudah berinteraksi dengan lebih kerap serta memberi layanan yang sempurna terhadap pelajar. Jadi, pembelajaran akan menjadi lebih berkesan berbanding pelajar yang belajar di dalam kelas yang terlalu ramai. Perbezaan kelas sosial kanak-kanak juga akan mempengaruhi corak pergaulan dan sikap kanak-kanak di sekolah. Falsafah hidup yang mereka anuti turut mempengaruhi falsafah sekolah, pengetua serta guru. Pembelajaran pelajar pula akan dipengaruhi oleh sekolah yang mereka hadiri. Bagi sekolah yang hanya mengutamakan akademik, akan menghasilkan pelajar-pelajar yang kurang berminat dalam sukan dan permainan.

Persekitaran Tempat Tinggal
Persekitaran tempat tinggal individu juga akan mempengaruhi perkembangan seseorang individu. Contohnya, seseorang yang tinggal di desa lazimnya masih tebal mengamalkan nilai-nilai tempatan kerana pergerakan mereka dikawal oleh norma masyarakat setempat berbanding di bandaraya yang besar, mereka akan lebih mementingkan diri sendiri dan terpengaruh dengan budaya pelbagai kerana tingkah laku mereka tidak dihiraukan oleh masyarakat sekeliling yang bersikap individualistik. Interaksi sosial penting kerana ia mempengaruhi perkembangan kognitif seseorang yang membawa kepada perbezaan manusia (Rahil & Habibah, 2001:104)

Sebaran Am
Selain daripada faktor-faktor di atas, semua jenis sebaran am juga memberi ruang persekitaran yang mengakibatkan perkembangan seseorang. Sebaran am seperti surat khabar, radio, televisyen, akhbar, majalah, buku, wayang gambar dan seumpamanya akan mempengaruhi perkembangan mental, pandangan, persepsi, dan sikap seseorang terhadap isu-isu semasa (Ee Ah Meng, 1996). Sebagai contoh,iklan-iklan yang dipamerkan menerusi alat-alat sebaran am telah banyak mempengaruhi pengguna sama ada ke jalan positif atau negatif, manakala drama-drama di televisyen pula telah banyak mengajar penonton dan menjadi tauladan dan tak kurang juga mempengaruhi penonton ke jalan negatif. Ahli-ahli psikologi kognitif seperti Bruner dan Bloom berpendapat bahawa kepelbagaian rangsangan adalah ramuan paling penting dalam perkembangan intelek ke peringkat optimum (Rahil & Habibah, 2001:154).

Pusat Ibadat
Malaysia mempunyai masyarakat berbilang kaum yang bebas mengamalkan agama masing-masing. Jadi pusat-pusat ibadat seperti masjid, gereja dan kuil di satu-satu tempat juga mempengaruhi falsafah dan cara hidup seseorang. Pembentukan nilai-nilai murni yang disemaikan akan mendidik jiwa penganutnya bersifat taat kepada perintah Tuhan serta berbaik-baik sesama manusia.

Pemimpin
Akhir sekali, pemimpin di sesebuah negara, negeri dan organisasi-organisasi tertentu juga akan menjadi latar persekitaran yang mempengaruhi pemikiran dan tindakan penduduk di satu-satu tempat. Ini boleh kita lihat dari segi idea, budaya, corak ekonomi, politik dan ideologi. Pandangan serta falsafah hidup penduduk berkenaan juga turut akan dipengaruhinya. Contohnya, pemimpin Jepun berjaya membudayakan masyarakatnya agar tekun bekerja, menepati masa dan membuat reka cipta dan inovasi pada zaman kebangkitan semula setelah negaranya mengalami kehancuran akibat dibom musuh. Maka sehingga kini, rakyatnya berkembang dari segi sahsiah dan intelek, menjadi orang yang bersikap seperti mana budaya yang telah diterapkan itu. Implikasinya, mereka berjaya mewujudkan negara yang berkembangan maju dan kaya.
Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa faktor persekitaran amat memberi implikasi kepada perkembangan manusia. Kebolehan mengutip, memproses dan menyimpan maklumat dari persekitaran kehidupan mereka dikenali pula sebagai perkembangan kognitif. Menurut Jean Piaget dalam Tang Chee Yee (1990:36), setiap individu memungut dan memproses maklumat dengan cara kualitatif yang berbeza bergantung kepada pengalaman persekitaran masing-masing. Bloom dalam Rahil dan Habibah (2001:154) pula mendapati pengalaman masa lalu dalam situasi pembelajaran adalah faktor persekitaran yang penting dalam perkembangan intelek. Seseorang yang belajar menguasai sesuatu masalah boleh memindahkan pengetahuan ini kepada masalah-masalah lain yang dihadapi. Beliau juga mengatakan bahawa tiga pembolehubah persekitaran yang penting dalam perkembangan kebolehan intelek seseorang sejak dari awal kanak-kanak ialah banyaknya rangsangan yang diterima untuk perkembangan lisan, banyaknya kemesraan dan ganjaran yang diterima oleh seseorang kerana pencapaian lisan-taakulan dan banyaknya galakan yang diterima oleh seseorang untuk interaksi aktif dengan masalah, penerokaan persekitaran dan pembelajaran kemahiran baru.

No comments: